Mayor's Foreword

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Bandaraya

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Datang ke Laman Web Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Penggunaan internet untuk urusan seharian dan sebagai wadah untuk mendapatkan informasi merupakan suatu keperluan utama, sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi dan kemajuan perkhidmatan jalur lebar. Mendepani realiti komunikasi masa kini, MBJB komited untuk menyediakan laman web yang mesra pengguna dengan kemudahan perkhidmatan atas talian yang cekap dan berkesan bagi memenuhi tuntutan semasa serta merakyatkan perkhidmatan awam.

Transformasi perkhidmatan awam berlaku dengan pantas dan agresif dan kita menyaksikan agensi kerajaan tidak terkecuali Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melakukan pelbagai inovasi untuk membantu orang awam menyelesaikan urusan mereka termasuk di luar waktu pejabat dengan kemudahan atas talian seperti system eKhidmat, SISPAA , OSCONLINE, iPerolehan dan pelbagai kemudahan atas talian yang lain. Selain daripada itu, MBJB juga telah beroperasi di UTC Galleria untuk memberikan perkhidmatan kaunter 7 hari seminggu sekaligus mempererat hubungan antara MBJB dan pelanggan-pelanggannya.

Manifestasi kepada kesungguhan MBJB memberikan perkhidmatan atas talian terbaik, laman web ini telah diberikan Penarafan Lima Bintang menerusi penilaian Malaysian Government Portals And Websites Assesment (MGPWA) oleh Multimedia Development Corporation (MDeC). Namun begitu, saya beserta seluruh warga kerja MBJB akan terus melakukan penambahbaikan demi mencapai kecemerlangan berterusan.

Seperti aur dan juga tebing, saya berharap agar MBJB dapat menjalin kerjasama erat dengan masyarakat, khususnya warga bandar raya, menerusi maklumbalas dan respon membina demi kemajuan dan kesejahteraan bandar raya yang kita cintai ini. Saya berharap agar laman web ini berjaya menjalankan fungsinya sebagai wadah mendapatkan maklumat dan perkhidmatan.

Sekian Terima Kasih.

Mesra Berkhidmat Jujur Berbakti

YANG BERHORMAT DATO' HAJI MOHD. NOORAZAM BIN DATO' HAJI OSMAN
Datuk Bandar Johor Bahru