Program Diskusi Ilmu Darul Ta'zim Dengan Tajuk Mural: Bukan Sekadar Lukisan Dan Majlis Penyampaian Hadiah Citra Mural Gemilang Johor - Perpustakaan Sultan Ismail Johor Bahru

KHAMIS, 18 November 2021 - Program Diskusi Ilmu Darul Ta’zim dengan tajuk Mural: Bukan Sekadar Lukisan dan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Citra Mural Gemilang Johor telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru hari ini.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Yayasan Bandaraya Johor Bahru ini dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Oleh sebab itu, program ini hanya melibatkan 30 orang peserta dalam kalangan guru daripada 7 buah sekolah dalam Negeri Johor.

Dengan matlamat untuk memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Kebangsaan melalui medium lukisan, penyampaian hadiah Anugerah Citra Mural Gemilang Johor telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Yahya bin Haji Jaafar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Bandaraya Johor Bahru, selaku wakil rasmi Yang Berhormat Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, merangkap Pengerusi Yayasan Bandaraya Johor Bahru.

SK Kayu Ara Pasong, Pontian telah dinobatkan sebagai Pemenang Utama, iaitu penerima Anugerah Berlian dengan membawa pulang Piala Terunggul YB Exco Pendidikan Negeri Johor, piala iringan, pelbagai barangan sumbangan Yayasan Bandaraya Johor Bahru, wang tunai berjumlah RM1,500.00, sijil penghargaan, koleksi buku dan majalah sumbangan DBP Wilayah Selatan. Sekolah-sekolah lain yang turut menerima pengiktirafan ialah SK Kundang Ulu, Tangkak, selaku penerima Anugerah Zamrud (Naib Johan), SK Bandar Seri Alam, Masai, selaku penerima Anugerah Baiduri (Tempat Ketiga), manakala SMK Tun Sulaiman Ninam Shah, Muar, SK Kota Masai 2, Pasir Gudang dan SK Tengku Mahmood 2, Kluang menerima Anugerah Delima (Saguhati) manakala SMK Tun Fatimah Hashim, Johor Bahru, menerima hadiah penghargaan.

Adalah diharapkan program seumpama ini dapat diadakan pada masa-masa akan datang sebagai satu wadah untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti, serta perjuangan menyebarluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan melalui pelbagai medium dalam kalangan masyarakat demi memperkukuh jati diri bangsa dan negara.

img

img