JOHOR ARCHITECTURAL HERITAGE WORKSHOP 2023

JOHOR ARCHITECTURAL HERITAGE WORKSHOP 2023

JOHOR BAHRU, 19 Mac 2023 – Sebagai usaha berterusan menjayakan agenda pembangunan lestari di Johor Bahru dan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersama-sama Pertubuhan Akitek Malaysia Cawangan Selatan (PAMSo) dan DECCO+ telah menganjurkan Johor Architectural Heritage Workshop 2023 di Dewan Kenanga, Menara MBJB, hari ini.

Program ini dilaksanakan sebagai satu platform perkongsian ilmu, pengalaman dan matlamat bagi mengenalpasti, memulih, memelihara, mengekalkan dan melindungi warisan senibina di Negeri Johor ini. Ianya juga bertujuan menggalakkan pemilik, pihak-pihak berkepentingan, orang ramai dan pihak kerajaan untuk meneroka dan menghargai senibina yang memberi inspirasi, reka bentuk warisan binaan, lekapan dan kelengkapan. Majlis hari ini telah

disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim bin Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, serta dihadiri oleh Ahli-Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, pihak-pihak berkuasa tempatan Negeri Johor, ahli-ahli Persatuan Akitek Malaysia dan DECCO+, para pensyarah, pelajar-pelajar universiti serta semua pihak berkepentingan.

Johor Architectural Heritage Workshop 2023 ini turut mendapat sokongan daripada Bank Islam, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Yayasan Warisan Johor, Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) Universiti Teknologi Malaysia, Jawatankuasa Pemuliharaan dan Warisan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Persatuan Sejarah Malaysia dan lain-lain lagi.

Dalam ucapan YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam bin Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru hari ini, beliau telah menyatakan bahawa sejarah dan warisan itu adalah merupakan ‘soul’ atau nadi kepada bandar raya ini dan menjadi asas penting dalam membentuk jati diri dan sahsiah rakyat Negeri Johor ini. “Seperti yang kita semua ketahui, sejarah dan warisan adalah merupakan komponen spiritual atau roh dalam identiti fizikal sesebuah bandar raya ataupun sesebuah negeri, serta merupakan nadi kepada masyarakat yang hidup di dalamnya. Warisan seni bina atau fizikal yang kita ada inilah yang mengekalkan nama dan reputasi sesebuah bandar dan negeri serta ianya amat penting kepada identiti bandar raya dan negeri tersebut,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa sejarah dan warisan ini turut dapat menanamkan rasa kesalinghubungan atau ‘sense of belonging’ rakyat Johor terhadap negeri kita ini. ‘Sense of belonging’ terhadap negeri Johor inilah amat penting dalam usaha semua PBT untuk bersama-sama masyarakat membangunkan sebuah bandar raya yang benar- benar mampan, sejahtera, sihat dan bersih, selari dengan hasrat kerajaan Negeri. MBJB akan menerapkan usaha pemeliharaan warisan seni bina ini dalam dasar serta perancangan pembangunan bandar raya Johor Bahru selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-11 iaitu ‘to make cities and human settlements inclusive, safe, resilient and sustainable’. Di bawah sasaran 11.4 SDG ini pula, ianya turut menekankan kepada peningkatan usaha untuk memelihara warisan budaya dan semulajadi di seluruh dunia. Johor Architectural Heritage Worksop 2023 ini amat penting dalam memberi pendedahan kepada masyarakat dan para pemegang taruh akan kepentingan pemeliharaan warisan seni bina dan bagaimana kita boleh bergerak ke arah ‘simbiosis’ atau melestarikan pembangunan serta dalam masa yang sama memelihara khazanah warisan seni bina yang ada.


JOHOR ARCHITECTURAL HERITAGE WORKSHOP 2023

JOHOR ARCHITECTURAL HERITAGE WORKSHOP 2023