MENU

LATAR BELAKANG

Fail cadangan untuk menubuhkan koperasi Majlis Bandaraya Johor Bahru telah dibuka seawal tahun 1997 semasa Tuan Haji Asri bin Amat menjadi Pengarah pentadbiran. Jawatankuasa penubuhan telah diwujudkan dan beliau sendiri telah banyak kali mengadakan siri perbincangan mengenainya. Cadangan ini diteruskan oleh tuan Haji Abdul Ghazali bin Karim ketika beliau menjadi Pengarah Pentadbiran pada tahun-tahun berikutnya dan diteruskan oleh Puan Haniza binti Hasan, mantan Penolong Pengarah Pentadbiran.

Idea menubuhkan Koperasi di Majlis Bandaraya Johor Bahru turut dilontarkan dalam mesyuarat agung dwi-tahunan Persatuan Perkhidmatan Bandaraya Johor Bahru (PPBJB) pada 28 Jun 2007 melalui usul yang dibawa oleh Tuan Haji Mohd Siari bin Juraimi dan disokong oleh Tuan Haji Wan Azmi bin Ahmad. Aktiviti utama yang dicadangkan ialah menjual komputer, peralatan pejabat, keperluan rumah tangga, harta tanah dan lain-lain. Melalui koperasi ini ahli-ahli PPBJB diharap akan berpeluang membeli barangan yang berkualiti dengan harga mampu. Usul ini telah dibahaskan oleh ahli-ahli PPBJB dan mesyuarat sebulat suara telah memberi mandat kepada jawatankuasa PPBJB yang baru dilantik ketika itu untuk melaksanakan usul tersebut.

Berikutan itu,PPBJB telah membentuk jawatankuasa penubuhan Koperasi di mana semua jawatankuasa PPNJN menjadi ahli jawatankuasa ini. Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah diadakan bersama-sama dengan beberapa orang jawatankuasa penubuhan Koperasi terdahulu. Ini termasuklah merangka Undang-undang Kecil Koperasi, Mencipta beberapa nama Koperasi yang sesuai, menjalankan kempen untuk mengumpul anggota supaya menjadi ahli dan akhirnya mengadakan mesyuarat agung permulaan pada 18 Jun 2009 di Auditorium JOTiC Johor Bahru dengan dihadiri oleh 94 orang bakal anggota. Usaha untuk mendaftarkan Koperasi dilakukan selepas itu sehingga berjaya.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperakukan pendaftaran Koperasi Anggota Majlis Bandaraya Johor Bahru Berhad dan Undang-Undang Kecilnya yang diluluskan oleh mesyuarat agung permulaan pada 18 Jun 2009, seterusnya didaftarkan sebagai sebuah Koperasi asas dengan liabiliti terhad, dibawah subseksyen 7(1) Akta Koperasi 1993 pada 29 Disember 2009. Sejak itu hingga kini, Koperasi ini ditadbir oleh 15 orang anggota Lembaga Koperasi

Penubuhan Koperasi ini sangat signifikan dan tentunya menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam melahirkan Koperasi ini, yang mengambil masa lebih kurang 12 tahun. Ia menepati hasrat asal penubuhan Koperasi pada tahun 1997 yang kemudiannya diteruskan oleh PPBJB pada tahun 2008. Rakaman penghargaan dan terima kasih kepada SKM, pentadbiran MBJB dan PPBJB yang berterusan memberi kerjasama serta sokongan. Tahniah dan syabas kepada semua anggota MBJB / ahli PPBJB yang telah bersama-sama mendukung kelahiran Koperasi Anggota Majlis Bandaraya Johor Bahru Berhad.