MENU

DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis Makan Malam Amal Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Hotel Berjaya, Johor Bahru malam ini (6 Mac).

Berangkat sama pada majlis yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun MBJB Ke-24 itu ialah YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Keberangkatan tiba Baginda dan Keluarga Diraja Johor disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato' Hj Azmi Bin Hj Rohani dan Datuk Bandar MBJB, Hj Amran Bin A. Rahman.

Pada majlis itu, Tuanku Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan Rumah Seri Kenangan.

Jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM 1,052,500 daripada 78 penaja.

Makan Malam Amal MBJB ini adalah yang julung-julung kali diadakan bersempena ulang tahun MBJB ke-24.

Sumbangan yang diterima itu membolehkan NGO terbabit menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya dalam bidang pendidikan.

Majlis Makan Malam Amal 2018