Pelancaran Johor Bahru Integrated Operations Control Centre (JBIOCC)

PELANCARAN JOHOR BAHRU INTEGRATED OPERATIONS CONTROL CENTRE (JBIOCC)

JOHOR BAHRU, 31 Disember 2023 – Sebagai langkah berterusan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dan pemantauan bandar raya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah melancarkan Johor Bahru Integrated Operations Control Centre (JBIOCC) atau Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru di Aras 15 Menara MBJB.

Seperti semua sedia maklum, akhir-akhir ini terdapat pelbagai isu yang berkait rapat dengan keadaan lalulintas, bencana, jenayah, infrastruktur, penguatkuasaan dan lain lagi perkara di dalam kawasan MBJB. Susulan ini, MBJB, memiliki visi yang luas untuk menangani isu-isu ini dengan bertindak mengenalpasti platform yang sesuai untuk memudahcara dan mengenalpasti dengan segera punca kepada isu ini dan bertindak dengan pantas sebelum perkara yang lebih buruk berlaku.

MBJB telah melaksanakan pelbagai kajian dan rujukan untuk mengenalpasti sistem yang sesuai bagi tujuan ini serta telah melaksanakan penandaarasan di PBT lain khususnya di bandar besar seperti Kuala Lumpur untuk mengenalpasti sistem yang sesuai untuk digunakan bagi menangani isu-isu yang disebutkan tadi.

Kerja-kerja pembangunan JBIOCC telah bermula pada akhir bulan September 2023 dan telah siap pada akhir Disember ini. Setelah 3 bulan kerja-kerja dilaksanakan, sebanyak 108 CCTV berkeupayaan 15 ciri kecerdasan buatan (Artifical Intelligence) serta Pusat Operasi Bersepadu Pintar (SIOC) telah disiapkan bagi peringkat Fasa 1. Selain itu, sebanyak 500 buah camera CCTV akan ditambah bagi tujuan pemantauan, 5 buah VMS dan 10 panic button dijangka siap dipasang di sekitar bandar raya Johor Bahru dan beroperasi sepenuhnya dalam bulan April 2024.

Umum mengetahui bahawa kita tidak dapat mengelakkan bencana dari berlaku. Namun begitu, melalui JBIOCC ini ianya dapat mengurangkan impak dan kesan dari bencana seperti kerosakan harta benda awam dan mungkin keselamatan nyawa manusia. Melalui notifikasi-notifikasi awal dari lapangan, MBJB dan pihak berkuasa lain boleh mengambil langkah proaktif untuk bertindak samada mencegah dan menyelesaikan isu, menguatkuasakan peraturan, memberi sokongan hinggalah membuat perancangan untuk masa hadapan bagi memperkukuhkan peranan MBJB menjadi sebuah organisasi yang sentiasa bersiapsiaga untuk segala kemungkinan.

JBIOCC ini turut membantu MBJB untuk mengenalpasti kekurangan yang ada di lapangan seperti kerosakan infrastruktur; membantu dalam kerja-kerja penguatkuasaan seperti kesalahan meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan, vandalisme, dan pembuangan sisa pepejal secara haram. Selain itu, ianya turut membantu perancangan masa hadapan melalui cerapan dan analisis data bagi pembangunan serta infrastruktur jalanraya; membantu pihak keselamatan khususnya PDRM dalam mencegah jenayah dan memperolehi maklumat untuk menyelesaikan jenayah; dan seterusnya menjadikan bandar raya Johor Bahru sebagai sebuah bandar raya yang selamat dan berdaya huni.

Pelancaran jbioccPelancaran JBIOCC