Pelancaran Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 30 Disember 2021 - Dalam usaha berterusan untuk menangani aduan-aduan awam kecemasan di kawasan bandar raya ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini telah melancarkan Skuad Kilat MBJB yang merangkumi 8 unit tindakan dari pelbagai jabatan dalaman MBJB.

Menurut YB Dato' Haji Mohd Noorazam bin Dato' Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru, Skuad Kilat MBJB adalah merupakan ‘first responder’ terhadap aduan-aduan awam yang bersifat kecemasan dan kejadian bencana alam di kawasan pentadbiran MBJB. Contoh sesuatu aduan awam yang bersifat kecemasan di kawasan MBJB adalah seperti pokok tumbang; banjir kilat; kejadian tanah runtuh & struktur runtuh; jalan berlubang; aduan pencemaran alam sekitar serta lain-lain aduan kecemasan dan bencana dalam kawasan pentadbiran MBJB yang memerlukan tindakan pantas dan segera.

Skuad Kilat MBJB ini juga tidak akan mengganggu peranan agensi keselamatan sedia ada malah ianya akan bertindak sebagai sokongan dalam melaksanakan tindakan bantuan termasuk sokongan kepada usaha-usaha yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru. Skuad Kilat boleh memberikan khidmat bantuan tenaga anggota, jentera, kenderaan, fasiliti dewan dan bangunan, khidmat kemasyarakatan, logistik dan lain-lain lagi sekiranya diperlukan oleh jawatankuasa bagi menghadapi situasi bencana alam di dalam daerah ini. Tambahan lagi, Skuad Kilat MBJB juga berfungsi sebagai satu unit yang akan menyalurkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan sekiranya berlaku bencana di luar sempadan pentadbiran MBJB sebagai salah satu tanggungjawab sosial yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Meskipun Skuad Kilat MBJB akan melaksanakan tindakan ‘first response’, langkah penyelesaian susulan yang lebih komprehensif dan lengkap dalam jangka masa pendek, sederhana atau panjang tetap akan dilaksanakan secara bersepadu oleh MBJB bersama-sama rakan operasi dari agensi kerajaan yang lain.

Hadir sama menerima Sijil Penghargaan Rakan Operasi Skuad Kilat hari ini adalah IPD Johor Bahru Selatan, IPD Johor Bahru Utara, IPD Seri Alam, BOMBA Daerah Johor Bahru, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Johor Bahru, Jabatan Kerja Raya Daerah Johor Bahru, Jabatan Perairan dan Saliran Daerah Johor Bahru, SW Corp, SWM Environment Sdn Bhd, Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, Teto Engineering Sdn Bhd, Safwa Global Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad, SAJ Ranhill Sdn Bhd dan Southern Volunteers.

Warga bandar raya yang mempunyai sebarang aduan kecemasan boleh hubungi Skuad Kilat MBJB di talian hotline 1300-88-0146, talian am MBJB 07-2198000 (waktu pejabat), talian Whatsapp 0197788212 serta aplikasi Rakyat Responz.

img

img