Program Kembiri Anjing Liar Kawasan MBJB Bersama Iskandar Malaysia Social Heroes dan Vet Partners

MBJB bersama dengan kerjasama Iskandar Malaysia Social Heroes (IMSHA) serta Vet Partners telah menjalankan Program Kembiri Anjing Liar Di Kawasan MBJB Siri Pertama pada 29 & 30 Oktober 2024. Dalam program 2 hari tersebut, sebanyak 213 ekor anjing telah dikembirikan.

Objektif bagi program ini dilaksanakan adalah termasuklah:

1. Melaksanakan kerjasama dengan NGO dan klinik veterinar dalam melaksanakan program kembiri (neuter) anjing berskala besar.

2. Memberi maklumat kepentingan kembiri (neuter) kepada orang awam melalui promosi kesihatan dalam mengawal populasi anjing liar dalam kawasan MBJB, meningkatkan kesihatan haiwan serta mengurangkan risiko sebaran penyakit seperti 'rabies'.

3. Memastikan pengurusan anjing liar yang lebih holistik, cekap dan mampan.

Program ini adalah rentetan daripada MOU yang dimeterai oleh MBJB dan IMSHA pada 2 Oktober 2024 yang lalu di dalam memastikan kaedah pengurusan anjing liar yang lebih sistematik dan berkesan di kawasan MBJB.

Proses pengembirian ini telah dijalankan oleh pihak Vet Partners Malaysia dengan melibatkan 18 pegawai veterinar yang terlatih dan 18 jururawat. Program ini merupakan sesi pertama program kembiri anjing di kawasan MBJB dimana 5 sesi program akan dijalankan bagi tahun 2024 dan 2025.

Anjing yang telah dikembirikan ini juga telah diberikan vaksin, ubat kutu haiwan dan ubat anti cacing bagi memastikan anjing ini terus berada keadaan yang sihat. Dalam masa yang sama, pihak syarikat Rhone Ma Malaysia telah sudi menyokong program ini dengan menyumbang vaksin rabies bagi anjing-anjing yang telah dikembirikan di dalam mengekang penularan virus Rabies. Kerjasama syarikat Rhone Ma Malaysia ini merupakan langkah yang baik dan proaktif di dalam aspek pencegahan penyakit dan kesihatan awam di kawasan MBJB. Anjing yang telah selamat dikembirikan ini telah dihantar kepada NGO untuk dipelihara dan dijaga dengan baik.

Program ini telah turut berjalan dengan penglibatan pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang turut mengimbirikan anjing yang telah ditangkap oleh pihak MBIP sebagai satu usaha Greater Johor Bahru di dalam mengawal populasi anjing liar.

MBJB bersama dengan pihak IMSHA dan Vet Partners Malaysia akan terus komited melaksanakan program kembiri anjing liar di kawasan MBJB dari semasa ke semasa di dalam mengawal populasi anjing liar di kawasan MBJB serta memberikan vaksinasi, rawatan dan penjagaan yang sesuai selepas proses kembiri.

Program Kembiri

Program Kembiri

Program Kembiri