DATUK BANDAR JOHOR BAHRU TERIMA KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN KETUA PENGARAH KRAFTANGAN MALAYSIA
Ahad, 6 November 2022 | Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menerima kunjungan hormat dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia iaitu Yang Berusaha Puan Saadiah binti Mat Dahri, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) bersama pengarah-pengarah serta pegawai Kraftangan Malaysia di Menara MBJB. Kehadiran delegasi ini disambut oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Haji Noorazam bin Dato’ Haji Osman dan pertemuan ini telah berlangsung selama sejam di Pejabat Datuk Bandar Johor Bahru.
Sesi kunjungan hormat ini adalah bertujuan untuk memaklumkan penganjuran Festival Kraftangan Johor (FKJ) 2022 yang bakal berlangsung di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall pada 1 hingga 11 Disember 2022 bermula jam 10 pagi hingga 10 malam. Sambutan FKJ 2022 ini adalah bersempena sambutan Hari Batik Malaysia yang telah digazetkan oleh Kerajaan Malaysia pada 3 Disember setiap tahun.
MBJB mengalu-alukan warga bandaraya Johor untuk beramai-ramai hadir ke FKJ 2022 bagi memeriahkan festival tersebut sekali gus, menyambut Hari Batik Malaysia agar tradisi Batik Malaysia ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dan dapat dikekalkan utuh hingga generasi akan datang.