Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Pengurusan Anjing Liar di Kawasan MBJB

Rabu, 2 Oktober 2024 | MBJB telah memeterai Memorandum Persefahaman Kerjasama Pengurusan Anjing Liar di Kawasan MBJB bersama Social Heroes Foundation (SHF) hari ini di Dewan Inai Merah, Menara MBJB.

Memorandum persefahaman ini telah ditandatangani oleh YB Dato' Haji Mohd. Noorazam bin Dato' Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru, dan Puan Thanam A/P Visvanatham, Pemegang Amanah Social Heroes Foundation, seusai Mesyuarat Penuh Bil. 9/2024 MBJB sebentar tadi.

Kerjasama ini dibentuk bagi melaksanakan program 'Trap, Neuter & Rehome' (TNR) anjing-anjing liar ke arah pengurusan haiwan liar yang lebih terurus, cekap, holistik dan mampan di kawasan MBJB. Selain itu, kerjasama ini adalah bagi mewar-warkan kepentingan kembiri (neuter) kepada orang awam bagi mengawal populasi anjing liar dalam kawasan MBJB dan untuk kesejahteraan haiwan, selain menggalakkan orang awam untuk kembiri (neuter) anjing peliharaan atau liar dengan menyediakan kemudahan program dengan kadar harga yang berpatutan.

Sebagai langkah awal, MBJB bersama SHF akan melaksanakan inisiatif 'mass neutering' pada 29 dan 30 Oktober dalam beberapa siri program mass neutering dengan sasaran keseluruhan sebanyak 1,000 ekor anjing.

Kawalan anjing liar ini secara berperikemanusiaan dan lestari adalah amat penting sebagai langkah awal pencegahan penyakit terutamanya rabies atau penyakit anjing gila yang telah berlaku di negeri-negeri lain.

Justeru, antara kelebihan program TNR ini ialah ianya dapat mengurangkan populasi anjing yang tidak diingini melalui pengurangan kelahiran baharu; meningkatkan kesejahteraan haiwan itu sendiri melalui pengurangan risiko sebaran penyakit; mengurangkan kos yang berkaitan pengurusan populasi anjing dalam jangka masa panjang; serta mengurangkan lagi aduan-aduan awam. Semoga dengan langkah yang diperkenalkan ini, aspek pengurusan anjing liar atau mana-mana haiwan liar dapat dilaksanakan dengan cekap dan mampan di kawasan Johor Bahru.

Untuk maklumat lanjut berkaitan inisiatif ini, sila hubungi Jabatan Kesihatan MBJB di talian 07-2282628.

Pengurusan Anjing Liar

Pengurusan Anjing Liar

Pengurusan Anjing Liar