OCBC Bank Kini Penaja Utama Acara Johor Bahru Car free Morning

OCBC BANK KINI PENAJA UTAMA ACARA JOHOR BAHRU CAR FREE MORNING

Johor Bahru, 8 Januari 2024 – Acara Johor Bahru Car-Free Morning atau Pagi Tanpa Kereta Johor Bahru yang kembali diadakan baru-baru ini pada hari Sabtu kedua setiap bulan di pusat bandar raya tersebut – telah mendapat sokongan yang tepat pada masanya daripada OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank). OCBC Bank yang sudah lama menyokong platform ini akan menjadi penaja utama mulai Sabtu, 13 Januari 2024.

Tajaan ini menyusuli sokongan berterusan yang diberikan oleh OCBC Bank kepada acara popular Kuala Lumpur Car-Free Morning (Pagi Tanpa Kereta Kuala Lumpur) yang diadakan sejak 2015.

Sebagai langkah pertama untuk menyokong acara JB Car-Free Morning yang serba baharu, OCBC Bank akan menaja 100 basikal yang boleh digunakan oleh orang ramai secara percuma pada setiap sesi.

Multigreen Events Sdn Bhd, penganjur acara KL Car-Free Morning sejak dari mula lagi, akan menjadi rakan strategik kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk melaksanakan program tajaan OCBC Bank.

Menurut Datuk Bandar Johor Bahru YB Dato’ Haji Mohd Noorazam bin Dato’ Haji Osman, penglibatan syarikat korporat seperti OCBC Bank, yang mempunyai pengalaman luas menaja program pagi tanpa kereta, sesungguhnya satu petanda positif bagi masa depan JB Car-Free Morning.

“Kami teruja kerana JB Car-Free Morning kini mempunyai sokongan padu berasaskan komitmen OCBC Bank kepada kejayaan jangka panjangnya, antara lain dengan membekalkan 100 basikal untuk digunakan oleh peserta secara percuma. Dengan tajaan ini, kami berharap untuk mengalu-alukan penyertaan lebih ramai orang dari segenap lapisan masyarakat untuk acara kami dari jam 7 pg hingga 9 pg pada Sabtu kedua setiap bulan. Seperti KL Car-Free Morning, JB Car-Free Morning berusaha melindungi alam sekitar, menggalakkan cara hidup sihat, menyokong penyahkarbonan dan menggalakkan aktiviti pelancongan di sekitar bandar raya Johor Bahru. Kami mengalu-alukan semua orang ke acara ini, termasuk rakan-rakan kami dari seberang Tambak di Singapura, untuk bersama kami pada Sabtu kedua setiap bulan,” katanya.

Acara JB Car-Free Morning menyusuri laluan sepanjang 5-kilometer untuk membolehkan peserta bersantai dan bersenam di sepanjang jalan-jalan yang ditutup kepada lalu lintas, sama ada dengan menunggang basikal, berlari, menaiki papan luncur atau berjalan kaki.

Dato’ Haji Mohd Noorazam menambah bahawa JB Car-Free Morning merupakan platform yang menarik untuk orang ramai beriadah dan menikmati pemandangan indah bandar raya, sambil mencipta detik-detik manis bersama rakan dan keluarga. JB Car Free Morning juga merupakan satu platform untuk agensi kerajaan, NGO dan sektor swasta bekerjasama.

JB Car-Free Morning bermula di Bangunan MBJB di Jalan Dato’ Onn dan melalui Jalan Dato Onn, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Trus, Jalan Abdullah Ibrahim, Jalan Dato Dalam, Jalan Khalid Abdullah dan Jalan Ayer Molek sebelum berakhir di garis permulaan.

Para peserta juga boleh melihat mercu tanda yang tersergam indah seperti Johor Bahru Sky Screen, Zero Mile Icon, Sungai Segget, Kuil Cina Silam Johor Bahru, Gurdwara Sahib Johor Bahru, Bangunan Sultan Ibrahim, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim dan beberapa bangunan terkenal lain.

Mengulas mengenai keputusan untuk menaja acara Johor Bahru Car Free Morning, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Bank (Malaysia) Berhad, En. Tan Chor Sen berkata OCBC Bank tertarik dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar Johor Baharu dan juga MBJB untuk membawa acara ini ke peringkat selanjutnya, dan mengalu-alukan peluang OCBC Bank bekerjasama dengan mereka.

“Kami menantikan lebih banyak acara berasaskan kelestarian menerusi JB Car-Free Morning dan akan terus berusaha menjayakan lebih banyak program berkaitan kesihatan dan alam sekitar untuk disertai oleh semua orang. Kami berharap untuk menambah inisiatif kitar semula dan mesra alam, dan mengharapkan penglibatan para peserta dalam aktiviti tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Bandar Johor Baharu kerana memberikan kepercayaan kepada kami dan berharap untuk menjalin kerjasama yang bermakna dan berhasil. Kami tidak sabar-sabar untuk melihat insan dari segenap lapisan masyarakat berhimpun di garis permulaan pada jam 7.00 pagi pada hari Sabtu, 13 Januari 2024,” katanya.

CEO Multigreen Events Encik Mohd Nezzam Abd Malek berkata pihaknya ingin meneruskan kerjasama dengan OCBC Bank, kali ini di Johor Bahru, untuk memastikan sasaran MBJB dapat dicapai.

“Kami berhasrat untuk menyediakan program-program aktif untuk disertai masyarakat pada setiap platform setiap bulan. Kami akan menyediakan aktiviti menarik untuk penglibatan masyarakat sambil memenuhi matlamat menggalakkan gaya hidup sihat, dengan meluaskan agenda kelestarian, terutamanya penyahkarbonan di samping menggalakkan pelancongan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai JB Car-Free Morning, orang ramai boleh melayari laman jb.carfreemorning.my

JB Car Free Morning

JB Car Free Morning