SELASA, 8 Februari 2022 - Sekitar lawatan pemeriksaan dan penggredan premis makanan serta tandas oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) MBJB di Taman Setia Indah hari ini.
Untuk makluman warga bandar raya, tugas pemeriksaan dan penggredan premis makanan serta tandas ini dijalankan setiap hari di seluruh kawasan pentadbiran MBJB mengikut jadual. Pemeriksaan dan penggredan ini dilaksanakan dengan mematuhi piawaian yang ketat termasuk memeriksa tahap kebersihan premis, status suntikan anti-typhoid pekerja premis, memeriksa suhu peti sejuk (peti penyimpanan makanan & bahan mentah), perangkap minyak (‘grease trap’), haiwan perosak dan lain-lain lagi. Selain dari pemeriksaan yang dijalankan, pengusaha premis turut diberikan nasihat dan penerangan berkaitan isu kebersihan dan keselamatan makanan oleh anggota bertugas di lapangan.
Sijil penarafan gred premis diberikan kepada pengusaha premis makanan berdasarkan kepada tiga bentuk pengiktirafan iaitu A – Sangat Bersih, B – Bersih dan C – Kurang Bersih. Penarafan bintang turut diberikan kepada tandas awam berdasarkan kriteria tertentu.
Hasil pemeriksaan dan penggredan yang dijalankan terhadap premis-premis makanan ini adalah penting untuk memberikan pilihan dan keyakinan kepada warga bandar raya berkenaan tahap kebersihan premis dan juga tahap keselamatan makanan yang disediakan.
Para pengusaha premis makanan digesa untuk mendapatkan suntikan anti-typhoid untuk setiap pekerja serta diwajibkan untuk memasang serta menyelenggara perangkap minyak di premis masing-masing bagi mengelakkan kejadian longkang tersumbat akibat sisa minyak atau lemak beku terkumpul dan seterusnya memelihara sungai dan perairan di bandar raya ini dari tercemar.
Pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi nombor talian berikut:
- Suntikan Anti-Typhoid - Klinik Bandaraya MBJB: 07-2282630
- Lesen perniagaan - Jabatan Pelesenan MBJB: 07-2198295
- Jabatan Kesihatan MBJB: 07-2282564