PROGRAM PENGINDAHAN SUNGAI DAN PENANAMAN POKOK DI PESISIRAN SUNGAI SRI BUNTAN, BANDAR BARU UDA
JOHOR BAHRU, 11 November 2022 - Program Pengindahan Sungai dan Penanaman Pokok di Sungai Sri Buntan ini merupakan salah satu inisiatif Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Affin Bank, yang selaras dengan agenda kempen 100 hari Johor Bersih yang dilancarkan oleh Menteri Besar Johor pada bulan Julai lalu.
Selain itu, antara objektif kempen pengindahan sungai dan penanaman pokok di pesisiran Sungai Sri Buntan ini adalah untuk mendidik serta mewujudkan kesedaran dalam kalangan komuniti setempat mengenai kepentingan menjaga dan memelihara keindahan sungai dan alam sekitar. Tambahan lagi, program ini juga adalah sejajar dengan Matlamat ke 6, 14 dan 15, Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) iaitu memelihara dan membaik pulih alam sekitar serta ekosistem sekaligus menghentikan dan merawat kemerosotan biodiversiti yang dipromosikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pelbagai pengisian aktiviti telah diadakan dalam program ini seperti aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan, bengkel membuat dan meletakkan ‘mudball’ ke dalam sungai dan sesi taklimat serta pameran mengenai kepentingan memelihara ekosistem sungai kepada warga bandaraya Johor Bahru.
Untuk makluman warga bandar raya, panjang keseluruhan Sungai Sri Buntan ini adalah 5.2 kilometer dan terdapat beberapa kawasan perumahan yang terletak di jajaran sungai ini seperti Taman Laguna, Bandar Baru Uda serta Taman Suria Muafakat. Aliran sungai ini juga akan mengalir ke kawasan perumahan di sekitarnya.
Sebagai usaha bagi meningkatkan kerjasama awam dan swasta dalam menjalankan agenda kelestarian bandar raya Johor Bahru, pihak Affin Islamic Bank Berhad telah menaja sebanyak 300 batang anak pokok bernilai RM57,000 bagi menjalankan Program Pengindahan Sungai dan Penanaman Pokok di 3 sungai dalam kawasan MBJB iaitu Sungai Sri Buntan di Bandar Baru Uda, Sungai Haji Rahmat di Kampung Pasir, dan Sungai Abdul Samad di Jalan Abdul Samad. Tujuan kerjasama pada hari ini juga adalah untuk memelihara dan memulihara Rizab Sungai dan Zon Riparian Sungai Sri Buntan melalui kaedah serta pendekatan semula jadi dan mampan.
Selari dengan objektif program ini, pihak MBJB juga akan menaiktaraf rizab sungai dengan cadangan projek tebatan banjir dan beberapa fasiliti rekreasi hijau bagi penggunaan penduduk sekitar di sepanjang Sungai Sri Buntan seperti laluan pejalan kaki, jogging, alatan permainan kanak-kanak serta peralatan outdoor gym yang berkonsepkan alam semula jadi.
Untuk makluman warga bandaraya, antara penyertaan yang terlibat dalam program ini adalah pihak pengurusan tertinggi Affin Islamic Bank Berhad, Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,Sekolah Menengah Bandar Baru Uda, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2, wakil-wakil penduduk, serta warga kerja MBJB.