MENU

Perkhidmatan

1. Jika pihak yang di pertanggungjawabkan tidak melaksanakan kerja-kerja pembersihan sampah, apakah tindakan yang boleh diambil oleh penguna atau orang ramai?

Pihak Penguna boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan berhampiran untuk membolehkan tindakan pembersihan dijalankan secepat mungkin

2. Apakah warna tong kitar semula?

Warna tong kitar semula adalah seperti berikut :

Warna Biru - Untuk kertas.

Warna Jingga - Untuk tin aluminium, tin keluli dan plastik.

Warna Coklat - Untuk kaca.

 

Pihak Berkuasa Tempatan

1. Apakah perbezaan antara Majlis Daerah/Majlis Perbandaran dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)?

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini dibahagikan kepada tiga kategori seperti berikut:

1.Majlis/Dewan Bandar Raya

2.Majlis Perbandaran

3.Majlis Daerah

Majlis/Dewan Bandar Raya ialah Majlis Perbandaran yang dinaikkan taraf bandar raya setelah memenuhi kriteria tertentu. Kriteria bagi Majlis/Dewan Bandar Raya ialah jumlah penduduk yang melebihi 100,000 orang dan hasil tahunan melebihi RM20 juta.

Majlis Perbandaran lebih tertumpu kepada bandar (urban) jika dibandingkan dengan Majlis Daerah dan mempunyai penduduk dan hasil yang melebihi Majlis Daerah. Kriteria bagi Majlis Perbandaran ialah jumlah penduduk yang melebihi 100,000 orang dan hasil tahunan melebihi RM5 juta.

Majlis Daerah lebih tertumpu kepada luar bandar (rural-based). Kriteria bagi Majlis Daerah ialah jumlah penduduk kurang daripada 100,000 orang dan hasil tahunan kurang daripada 5 juta.

2. Berapakah bilangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  yang terdapat di Malaysia sekarang?

145 buah PBT (termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), iaitu Majlis Perbandaran (MP) 31 buah; Majlis Daerah (MD) 114 buah. Terdapat juga beberapa badan lain yang diberi kuasa oleh Kerajaan Negeri masing-masing untuk melaksanakan fungsi-fungsi PBT seperti: PBT Kulim Hi-Tech, PBT Pasir Gudang, Perbadanan Putrajaya dan sebagainya.

3. Adakah kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Malaysia terletak di bawah bidang tugas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)?

Kesemua PBT terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri masing-masing. Bidang tugas KPKT adalah untuk menyelaras PBT-PBT tersebut dari segi penyeragaman dasar dan perundangan, memberi khidmat nasihat termasuk khidmat nasihat teknikal dan penyaluran peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

4. Bagaimana orang ramai boleh membuat aduan mengenai isu/masalah yang dihadapi di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)?

Orang ramai boleh membuat aduan terus kepada PBT yang berkenaan ataupun kepada KPKT. Soalan: Apakah sampah pukal (tilam, almari buruk dan sebagainya) di pungut seperti mana kekerapan pungutan sampah biasa ?

 

Apa Itu Cukai Taksiran (Cukai Pintu)

1. Apakah Itu Cukai Taksiran?

Cukai pintu adalah cukai yang dikenakan ke atas pemilik dan penghuni pegangan berkadar yang terletak di dalam kawasan bidang kuasa sesebuah Majlis.

2. Siapakah Pembayar Cukai Taksiran?

Jika anda mempunyai rumah, rumah kedai, hotel, stesen servis, tanah kosong atau pegangan berkadar yang lain yang terletak di dalam kawasan Majlis, anda akan dikenakan cukai taksiran. Sebaliknya, jika anda menduduki bangunan atas tanah tanpa dokumen hakmilik berasingan atau tanah yang dirizabkan untuk sesuatu maksud awam, anda juga perlu membayar cukai taksiran.

3. Kenapa Perlu Membayar Cukai Taksiran?

Kutipan dari cukai pintu adalah perlu untuk menampung perbelanjaan Majlis dalam menyediakan perkhidmatan seperti penyelenggaraan, taman rekreasi, pemotongan rumput, lampu jalan dan tempat kemudahan awam untuk kesejahteraan masyarakat.

4. Bila Perlu Dibayar?

Cukai Taksiran perlu dibayar 2 kali setahun iaitu :
•    ½ tahun pertama – 1hb. Januari hingga 28hb. Februari.
•    ½ tahun kedua – 1hb. Jul hingga 31hb. Ogos bagi tiap-tiap tahun.

Cukai taksiran yang dibayar selepas tarikh akhir pembayaran notis berdenda akan dikeluarkan.

5. Apakah Yang Akan Terjadi Jika Tidak Menjelaskan Cukai Dalam Tempoh Tersebut?

Mengikut Akta 171, anda akan dikenakan tindakan –tindakan seperti berikut :

•    Notis (Borang E) akan dikeluarkan kepada anda. Anda dikehendaki menjelaskan dalam masa lima belas hari dari tarikh notis ini diposkan/diserahkan.
•    Jumlah denda sebagaimana berikut;     

  Tunggakan

 Notis (Denda)

  RM 50.00 dan kurang

RM 2.00

  RM 50.01 sehingga RM 500.00

RM 4.00

  RM 500.01 sehingga RM 1000.00

RM 10.00

  RM 1000.01 dan lebih

RM 15.00

•    Jika masih gagal, waran tahanan akan dikeluarkan keatas anda. Waran ini membolehkan Majlis merampas barang-barang yang ada di dalam bangunan atau menutup bangunan daripada menjalankan operasinya atau melelong bangunan tanah melalui Pendaftar Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 151. Bayaran waran sebanyak 10 peratus juga akan dikenakan.

6. Bagaimana Untuk Mengelakkan Dikenakan Denda Atau Tindakan Mahkamah?

Bayar segera sebelum 28hb. Februari – 31hb. Ogos pada tiap-tiap tahun.

7. Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Bil-Bil Tidak Diterima?

Datang sendiri ke Pejabat MBJB, Unit Penilaian dan Harta untuk mendapatkan bil-bil tuan-tuan/puan-puan. Jangan lupa bawa maklumat-maklumat seperti berikut :-
•    No. Lot/No.Rumah dan kedudukan harta.
•    No. Akaun (Jika ada) atau
•    Bawa bil lama untuk rujukan

8. Apakah Tanggungjawab Saya Sebagai Pembayar Cukai?

Adalah penting bagi pembayar cukai membayar cukai taksiran sebelum tarikh akhir pembayaran.

Pembayar Cukai Taksiran hendaklah:-
•    Menyemak di pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru samada hartanah anda sudah dikenakan cukai pintu.
•    Membayar cukai pintu sebelum tarikh akhir pembayaran.
•    Memberitahu Majlis jika terdapat pertukaran alamat pos
•    Membekalkan alamat peti surat pos, jika ada.
•    Memberitahu Majlis dengan surat-menyurat ataupun dalam borang F yang boleh didapati dari pejabat. Memaklumkan Majlis jika terdapat pertukaran hakmilik serta menyampaikan salinan memorandum pindah milik atau dokumen hakmilik terakhir atau perjanjian jualbeli dengan melampirkan salinan dokumen diatas.
•    Memeriksa di pejabat Majlis dan menjelaskan sebarang cukai pintu kepada Majlis sebelum pertukaran hakmilik berlaku.
•     Memberitahu Majlis melalui surat-menyurat jika bangunan diubahsuai atau dirobohkan.
•    Memberitahu Majlis secara surat-menyurat jika ingin memohon pengurangan cukai pintu atas sebab bangunan anda tidak diduduki.
•    Memberi kerjasama kepada kakitangan-kakitangan Majlis apabila pegangan diperiksa untuk tujuan cukai taksiran.
•    Memberitahu Majlis secara surat-menyurat jika telah mendirikan bangunan tanpa pelan bangunan (Bangunan haram).
•    Melengkap dan mengembalikan borang-borang yang dihantar oleh Majlis.
•    Mengambil bil cukai di pejabat Majlis jika anda tidak menerima bil. (Tiada pengecualian denda diberi atas alasan tidak menerima bil cukai taksiran).

9. Jika Saya Hanya Seorang Penyewa Rumah / Bangunan Tersebut, Apa Harus Saya Lakukan?

Anda boleh mengemukakan bil-bil ini kepada pemilik untuk bayaran segera. Jika pemilik gagal untuk menjelaskan cukai tersebut harta anda di dalam bangunan itu akan dirampas. Oleh itu anda boleh melindunginya dengan membayar sewanya kepada Majlis sehingga tunggakan dijelaskan. Peruntukan Seksyen 151(6). Akta 171 Kerajaan Tempatan, melindungi anda!

10. Mengapa Cukai Taksiran Saya Berbeza Dengan Jiran Saya?

Perbezaan nilai cukai taksiran adalah disebabkan oleh:-

•    Jenis bangunan
•    Keluasan lantai
•    Lokasi
•    Bahan-bahan pembinaan
•    Kegunaan

11. Apakah Saya Layak Menerima Rebat Jika Bangunan Saya Tidak Didiami?

Anda hendaklah memberi notis kepada pihak Majlis jika bangunan anda kosong dan tidak didiami. Anda akan layak untuk diberi rebat jika segala syarat dalam Peraturan 5 dan 6 yang terkandung dalam Peraturan (Kadaran) Pihak Berkuasa Tempatan 1997 dipenuhi.

12. Apakah Yang Harus Dilakukan Apabila Ingin Membeli Sebuah Rumah / Tanah Kosong?

Semak dulu dengan Majlis untuk nama yang didaftar dan tunggakan yang masih ada bagi rumah / tanah tersebut untuk mengelakkan anda menyesal di kemudian hari, Seksyen 146, Akta 171 menegaskan bahawa semua kadar (tunggakan) adalah menjadi tanggungjawab pemilik pada masa itu untuk menjelaskannya. Anda dinasihatkan supaya menyemak dahulu pengurusan yang menguruskan urusniaga harta tersebut untuk menentukan tunggakan telah dijelaskan oleh pemilik sebelumnya.

13. Jika Saya Telah Tukar Milik / Menjual / Mewariskan Rumah / Harta, Apa Perlu Saya Buat?

Beritahu kepada Majlis dengan mengisikan Borang 1 / Borang J dan lain yang berkenaan dalam tempoh 3 bulan selepas pindahmilik dilakukan. Jika gagal Pihak Majlis boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 160(6) Akta 171.

14. Jika Anda Tidak Mampu, Bagaimana Untuk Menjelaskan Cukai?

Majlis akan menimbangkan untuk bayaran dibuat secara ansur. Untuk itu, anda dinasihatkan untuk datang sendiri ke Pejabat Majlis, Unit Penilaian dan Harta untuk membincangkan perkara itu dengan pengawai-pengawai yang berkenaan. Pihak Majlis juga bersedia untuk menyelesaikan lain-lain masalah anda mengenai Cukai Taksiran. Sebarang masalah boleh dikemukan di Pejabat Majlis.

 

Apa perbezaan Cukai Taksiran dan Cukai Tanah?

1. Apakah Itu Cukai Tanah?

Cukai Tanah ialah cukai yang mesti dibayar oleh Tuan Tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Tanah.  Cukai Tanah mesti dibayar sepenuhnya mulai 1 Januari setiap tahun dan akan menjadi tunggakan mulai 1 Jun setiap tahun

2. Apa perbezaan 'Cukai Taksiran' dan 'Cukai Tanah'?

Cukai Taksiran atau juga dikenali sebagai "Cukai Pintu' dibayar kepada pihak Berkuasa Tempatan dan perlu dibayar dua kali setahun. Bil cukai taksiran berwarna biru.
Cukai Tanah adalah cukai yang dikenakan bagi tanah hak persendirian dan wajib dibayar sekali setahun kepada pihak Berkuasa Negeri.  Bil cukai tanah berwarna kuning.

 

Jika maklumat ini tidak mencukupi, sila hubungi :-

MOHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL HAMID

PENOLONG PENGARAH BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM

MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU

TEL : 07-219 8080

E-MEL : firdaus@mbjb.gov.my