1,213 Hektar Kawasan Industri MBJB Belum Dibangunkan – Datuk Bandar

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sedang mencari pelaburan baharu melibatkan tanah industri seluas lebih 1,214 hektar yang masih belum dibangunkan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman sehubungan itu berkata, MBJB masih mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai sebuah hab perindustrian di selatan tanah air.

Menurut beliau, usaha itu juga selari dengan pelaksanaan inisiatif ekonomi berimpak tinggi oleh kerajaan persekutuan iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Di kawasan Johor Bahru ini, masih terdapat 18 peratus tanah kosong yang masih belum dibangunkan dan lebih daripada 1,214 hektar adalah tanah industri.

“Oleh itu, kita juga sedang giat untuk menyusun semula struktur bandar raya ini adalah lebih berdaya saing dan dapat menjadi sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB, di Menara MBJB, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Noorazam, antara perindustrian yang dicadangkan pihaknya di kawasan seluas 1,214 hektar itu termasuklah sektor pembuatan.

“Sektor ini adalah antara sektor sesuai dilaksana kerana ia memberikan banyak impak ekonomi bukan sahaja kepada negeri, tetapi juga masyarakat seperti peluang pekerjaan dan pelbagai industri hiliran lain,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

kenyataan akhbar