MBJB Beku Permohonan Lesen Perniagaan Berisiko Tinggi Atau Sensitif

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memutuskan untuk membekukan semua permohonan lesen perniagaan berisiko tinggi dan sensitif di kawasan pentadbirannya berkuat kuasa 1 Februari, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan pada 17 Januari lalu.

YB Dato' Mohd Noorazam Osman, Datuk Bandar MBJB memaklumkan tindakan pembekuan permohonan terbabit melibatkan aktiviti atau jenis perniagaan antaranya spa, rawatan atau urut tradisional dan urut kaki (refleksologi).

Ia dilakukan secara menyeluruh bagi permohonan di rumah kedai, bangunan hotel dan kompleks perniagaan atau membeli belah, namun tidak melibatkan permohonan tambah lot, tukar nama pemilik syarikat, tukar nama syarikat bagi syarikat yang sama serta pembaharuan lesen tahunan.

Permohonan yang diterima oleh Jabatan Pelesenan MBJB sehingga 31 Januari lalu, juga akan diberikan status tangguh dengan semakan sehingga permohonan dibuka semula pada suatu masa yang akan diumumkan kelak.

Justifikasi pembekuan permohonan itu bagi melakukan perancangan dan menjenamakan semula aktiviti-aktiviti terlibat supaya setanding negara maju lain yang akan digariskan dalam satu polisi baharu bersesuaian dengan imej MBJB sebagai panduan untuk pengusaha.

SUMBER : FACEBOOK MEDIA DIGITAL JOHOR  Layari portal MDJ di https://mediadigitaljohor.gov.my/mbjb-beku-permohonan.../