Tax Assessment

Maksud Cukai Harta
Cukai Harta atau Cukai Taksiran adalah cukai yang dikenakan ke atas setiap pegangan berkadar termasuklah tanah kosong di dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru mengikut kuasa yang diberikan dibawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ia adalah cukai yang dikenakan ke atas pemilik harta tanah yang mempunyai jenis harta seperti :

Perumahan
Rumah teres, rumah berkembar, rumah sesebuah, rumah bandar, rumah pangsa, pangsapuri, apartment, kondominium, rumah kedai dan sebagainya.

Perdagangan
Kedai, kedai pejabat, apartment perkhidmatan, pusat membeli belah, pawagam, pejabat, hotel, stesen minyak, pusat rekreasi dan sebagainya.
Perindustrian
Kilang teres, kilang berkembar, kilang kluster, kilang sesebuah, bengkel dan sebagainya.
Pertanian
Ladang Kelapa Sawit, kebun sayur-sayuran, kebun bunga dan sebagainya.
Tanah Kosong
Lot pertanian, lot kediaman, lot perindustrian, tanah pembangunan dan sebagainya.


PENGIRAAN CUKAI HARTA
2 komponen utama dalam pengiraan Cukai Harta adalah Nilai Tambah dan Kadar.

Nilai Tambah adalah berasaskan Harga Pasaran harta anda (Nilai Tanah termasuk Bangunan jika ada) pada satu aras nilai tertentu yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Nilai Tambah yang digunakan pada masa ini adalah mengikut nilai pasaran pada tahun 2013.

Kadar pula ialah peratus yang dikenakan ke atas nilai harta anda sebagai cukai harta yang perlu dibayar sebagaimana formula di bawah :

Nilai Tambah             X                 Kadar % Mengikut Jenis Pegangan                 =       Cukai Taksiran

KADAR PERATUS
Majlis Bandaraya Johor Bahru telah menetapkan kadar yang berbeza mengikut jenis pegangan iaitu :

KAWASAN MBJB SEDIA ADA  
JENIS PEGANGAN KADAR CUKAI HARTA
Perumahan dan Lain-Lain 0.12 %
Perumahan Kos Rendah 0.11 %
Perumahan Rizab Melayu 0.04 %
Perdagangan 0.27 %
Perindustrian 0.30 %
Tanah Pertanian 0.07 %
Kampung Senibong 0.07 %
 
KAWASAN BARU HASIL PERSEMPADAN SEMULA  
JENIS PEGANGAN KADAR CUKAI HARTA
Perumahan Komuniti Jenis A (RM 42,000) 0.17 %
Perumahan Komuniti Jenis B (RM 80,000) 0.21 %
Perumahan/Kediaman 0.13 %
Perumahan Mampu Milik (Bawah RM 150,000) 0.27 %
Rizab Melayu (Kediaman) 0.10 %
Perdagangan/Perniagaan 0.20 %
Perusahaan/Perindustrian 0.30 %
Pertanian 0.05 %
Pertanian (Jalan Sg Tiram Sahaja) 0.02 %

PENGELUARAN BIL CUKAI HARTA
Bil Cukai Harta dikeluarkan dan perlu dijelaskan dua kali setahun :

PENGGAL TEMPOH BAYARAN
Setengah Tahun Pertama 1 Januari -  28 Februari
Setengah Tahun Kedua 1 Julai - 31 Ogos

KESAN LEWAT MEMBAYAR CUKAI HARTA
Anda akan menerima Notis Berdenda seperti berikut sekiranya lewat membayar Cukai Harta :

  1. Surat Peringatan akan dikeluarkan dan anda perlu menjelaskan dalam masa lima belas (15) hari dari tarikh notis ini dipos/serah;
  2. Jika masih gagal, Notis (Borang E) akan dikeluarkan . Anda juga perlu menjelaskan dalam masa lima belas (15) hari dari tarikh notis ini dipos/serah;
  3. Jika masih gagal, Sitaan Harta Alih akan dibuat ke atas harta alih yang terdapat di bangunan anda atau lelongan harta tanah bagi yang tidak mempunyai harta alih seperti tanah kosong, melalui Pendaftar Mahkamah Tinggi sebagaimana Seksyen 151 Akta 171

Caj Notis-notis tersebut sebagaimana berikut :

NOTIS CAJ
Surat Peringatan RM 6.00
Notis (Borang E) RM 11.00
Borang G (Sita) rm 33.00

TERIMAAN BIL CUKAI HARTA

Bil Cukai Harta dihantar berdasarkan alamat surat menyurat yang didaftarkan oleh Pemilik (Pemaju atau Pemilik terdahulu) sebagaimana di dalam sistem pengkalan data MBJB sedia ada.

Sekiranya anda tidak menerima Bil Cukai Harta, anda boleh mencetaknya melalui aplikasi dalam talian (Online) dengan mendaftar di pautan MyBill di dalam portal MBJB  https://apl.mbjb.gov.my/mybill.

Bagi alamat surat-menyurat Bil Cukai Harta yang berbeza dengan alamat penginapan anda, anda perlu layari portal MBJB di www.mbjb.gov.my bagi mendapatkan Borang Permohonan Makluman Pertukaran Alamat (P-03) dan hantar ke Jabatan Penilaian, Menara MBJB bagi tindakan kemaskini alamat surat menyurat anda.

KAEDAH PEMBAYARAN CUKAI HARTA

  1. Bayaran secara atas Talian
  • JOMPAY [Cukai Harta Sahaja – Biller Code 4317]
  • e-khidmat
  • PBTPay
  • JOHORPay
  • Maybank
  • CIMB clicks
  • HSBC
  • Pos Online
  • Bank Rakyat
  • Bank Simpanan Nasional
  • Ambank
  1. Pembayaran tunai atau kad debit/kredit di:
  • Pejabat Menara MBJB
  • Pejabat MBJB Cawangan Jalan Dato Onn
  • Pejabat MBJB Cawangan Johor Jaya
  • Pejabat Cawangan Permas Jaya
  • UTC Galeria @ Kotaraya
  • Kiosk Bayaran Cukai Harta
  • Pejabat Menara MBJB
  • Pejabat Jalan Dato Onn
  1. Bayaran di kaunter agensi luar
  • Pos Malaysia
  • BSN
  • Bank Rakyat
  1. Kaunter bergerak iaitu e-NOBAS (Jadual e-NOBAS boleh didapati di dalam Laman Web Majlis Bandaraya Johor Bahru)
  1. Bayaran melalui Pos

Kiriman Wang / Wang Pos / Bank Draf hendaklah dibuat di atas nama "Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru" serta dipalang "Akaun Penerima Sahaja". Sila catitkan Nama, Nombor Kad Pengenalan, Alamat Pembayar serta Nombor Akaun Cukai Harta. Sebelum membuat bayaran, sila pastikan Nombor Hakmilik, Nombor PT/Lot, kepunyaan pembayar adalah sah dan tepat.

Mulai 25 Oktober 2020, pihak MBJB tidak lagi menerima cek (persendirian/ syarikat) bagi semua urusan perkhidmatan dan pembayaran bil.

PINDAAN NILAI TAMBAH

Pindaan kepada nilai tambah ke atas pegangan boleh dibuat sekiranya berlaku perubahan fizikal ke atas harta tersebut seperti dibuat ubahan tambahan kepada bangunan, bangunan dirobohkan atau terbakar, pengambilan balik tanah menyebabkan luas tanah berbeza dan sebagainya. Sebarang pindaan kepada nilai tambah akan dimaklumkan kepada pemilik melalui notis pemberitahuan di bawah Seksyen 144 Akta 171 dengan menyatakan nilai tambah terkini, tarikh berkuatkuasa cukai harta yang baru dan tarikh akhir membuat bantahan.

BANTAHAN CUKAI HARTA

Atas peruntukan Seksyen 142 Akta 171, Pemilik yang tidak berpuas hati terhadap pindaan nilaian tersebut boleh membuat bantahan secara bertulis dalam tempoh yang ditetapkan di atas mana-mana daripada alasan berikut:

  1. Sesuatu pegangan yang pada pendapatnya telah dinilaikan lebih daripada nilai yang boleh dikenakan kadar,
  2. Bahawa sesuatu pegangan yang dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan kadar,
  3. Sesuatu pegangan yang tertinggal daripada Senarai Nilaian,
  4. Sesuatu pegangan yang pada pendapatnya telah dinilaikan kurang daripada nilai yang boleh dikenakan kadar,
  5. Sesuatu pegangan yang telah dinilai secara bersama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.

Pemilik akan dijemput hadir ke sesi pendengaran bantahan yang akan ditetapkan dan perlu membawa sekali laporan penilaian yang disediakan oleh Syarikat Penilaian Swasta bagi menyokong permohonannya.
 


PERMOHONAN PINDAHMILIK

Notis ini merupakan makluman daripada pemilik harta bahawa telah berlakunya pertukaran nama pemilik harta akibat berlaku jual beli atau warisan harta pusaka. Notis Pindahmilik kerana jual beli atau warisan harta pusaka dibuat menggunakan Borang i manakala pertukaran pemilik akibat kematian dibuat menggunakan Borang J.

Anda perlu membuat pendaftaran Pindahmilik (Borang i/J) melalui aplikasi dalam talian PMO (Sistem Pindahmilik Online) di pautan http://johor.ekhidmat.my. Kegagalan berbuat demikian mengikut tempoh yang ditetapkan, apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM2,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam (6) bulan atau kedua-duanya sekali sebagaimana yang termaktub di bawah Seksyen 160, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

            Dokumen yang perlu dimuat turun di dalam PMO adalah seperti berikut:

  1. Satu Salinan Kad Pengenalan Setiap Pemilik (bagi individu) atau Borang 9/13 (bagi syarikat).
  2. Satu Salinan Dokumen Hakmilik mana-mana yang berikut:
  • Geran dengan nama pemilik terkini (jika telah memiliki Geran); atau
  • Surat Hakmilik Sementara dengan nama pemilik asal dan Borang 14A (jika belum memiliki Geran); atau
  • Perjanjian Jualbeli (mukasurat depan, mukasurat 1 dan Jadual Pertama sahaja) bagi rumah pangsa / apartment / kondominium yang belum dikeluarkan Hakmilik Strata;
  1. Bayaran pendaftaran RM50.00 untuk 1 transaksi pindahmilik di dalam Sistem PMO ini.

TINDAKAN SEKIRANYA ANDA MEMBELI HARTA LELONG

Pastikan Bil Cukai Harta yang terkini dirujuk kepada pihak mahkamah yang menjalankan proses lelongan. Ini kerana, tunggakan cukai harta akan ditolak daripada harga Jualan Lelongan sebagaimana yang diperuntukan oleh Seksyen 268 Kanun Tanah Negara.

PULANGAN BALIK CUKAI HARTA / REMISI

Anda boleh membuat permohonan pulangan balik cukai harta/remisi sekiranya bangunan yang dimilik oleh anda TIDAK DIDIAMI/KOSONG dan masih dalam keadaan baik untuk didiami. Anda layak diberi remisi sekiranya memenuhi syarat-syarat sebagaimana Seksyen 162, Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Borang permohonan remisi dan syarat permohonan boleh diperolehi di Jabatan Penilaian, MBJB.

CUKAI HARTA VS CAJ IWK

Cukai Harta dan Caj IWK (caj kumbahan) adalah dua perkara yang berbeza. Kuasa untuk mengenakan cukai harta diberikan kepada Majlis mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), manakala kuasa untuk mengenakan caj kumbahan diberikan kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengikut peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Cukai Harta perlu dibayar bagi menampung perbelanjaan dalam menyediakan perkhidmatan perbandaran dan kemudahan awam kepada anda sebagai pemilik harta di seluruh kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru. Manakala Caj IWK dibuat bagi menampung kos penyelenggaraan sistem pembentungan di tangki kumbahan anda.

Sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan Caj IWK, anda perlu merujuk secara terus kepada pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd. Pihak MBJB tidak boleh membuat sebarang maklumbalas berkaitan Caj IWK atas faktor peruntukan kuasa yang berbeza.

CUKAI HARTA VS FI PENYELENGGARAAN BANGUNAN

Cukai Harta dan fi penyelenggaraan bangunan adalah dua perkara yang berbeza.  Fi penyelenggaraan adalah untuk menyelenggara kawasan kediaman gunasama harta anda sahaja.  Manakala Cukai Harta digunakan sebagai perbelanjaan untuk menampung kos kemudahan awam dan perkhidmatan perbandaran di seluruh kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru seperti membaiki jalan, kemudahan rekreasi, penyediaan serta penyelenggaraan infrastruktur, pengurusan kebersihan, kesihatan dan lain-lain.

TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI PEMILIK HARTA

  • Membayar Cukai Harta sebelum tarikh akhir pembayaran;
  • Menyemak di pejabat MBJB sama ada harta tanah anda sudah dikenakan Cukai Harta atau belum;
  • Memberitahu pihak MBJB jika terdapat pertukaran alamat surat-menyurat;
  • Memaklumkan jika terdapat pertukaran hakmilik dengan membuat permohonan pendaftaran Pindahmilik (Borang i/j) melalui aplikasi dalam talian (Online) di pautan http://johor.ekhidmat.my;
  • Hadir di pejabat Majlis dan menjelaskan sebarang tunggakan Cukai Harta (sekiranya ada) kepada Majlis sebelum pertukaran hakmilik berlaku;
  • Memberitahu Majlis melalui surat-menyurat jika bangunan anda telah diubahsuai atau dirobohkan;
  • Memberi kerjasama kepada anggota Majlis apabila pegangan diperiksa untuk tujuan Cukai Harta;
  • Memberitahu Majlis secara surat-menyurat jika telah mendirikan bangunan tanpa pelan bangunan;
  • Melengkap dan mengembalikan borang-borang yang dihantar oleh Majlis;
  • Menyemak Bil Cukai Harta di  pautan MyBill di dalam portal MBJB jika anda tidak menerima bil. (Tiada pengecualian denda diberi atas alasan tidak menerima Bil Cukai Harta).