4 APRIL 2020 : Susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara kini, antara golongan yang turut terdedah kepada risiko jangkitan adalah golongan orang papa iaitu gelandangan dan pengemis yang berada di sekitar bandar raya Johor Bahru ini. Sehubungan ini, Kerajaan Negeri Johor melalui YB Puan Zaiton binti Haji Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, telah mengambil inisiatif sewajarnya untuk melaksanakan operasi menyelamat orang papa iaitu gelandangan dan pengemis di daerah Johor Bahru ini dan menempatkan mereka di Pusat Kuarantin Kem Wawasan Gunung Pulai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berlangsung.
Operasi ini turut disertai oleh KKM, PDRM, MBJB, JKM, JIM, dan PBSM.
Pelan menyelamat orang-orang papa ke pusat kuarantin ini dirangka bertujuan untuk menyediakan penempatan yang teratur dari aspek pengurusan tempat tinggal, kesihatan dan makan minum agar mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat.
Selain daripada menyediakan bantuan kekuatan seramai 20 anggota, MBJB turut memberi bantuan dari segi peralatan khemah dan lori untuk menjayakan operasi ini selain menyumbang barangan asas keperluan harian untuk kegunaan orang papa melalui Yayasan Bandaraya Johor Bahru.
Selepas ini, operasi menyelamat akan diteruskan oleh JKM serta dibantu oleh PDRM dan MBJB. Adalah diharapkan mulai esok, Ahad 5 April 2020, tiada lagi orang-orang papa yang berlegar di sekitar bandar raya Johor Bahru lebih-lebih lagi dalam situasi genting ini.